Thursday, November 7, 2013

Inspirasi di Eyup Camii

Kisah orang tua, orang muda, dan orang belajar

Kisah Orang Muda Belajar di Istanbul

Beberapa hari telah berlalu, semenjak kembalinya ke rahmatullah seorang anak muda menjelang tahun baru hijrah. Anak muda itu ialah Ahmad Ammar (http://goo.gl/phgLZ7), seorang pelajar tahun 2 berumur 20 tahun dari Malaysia yang menuntut di Universiti Marmara, Istanbul.

Banyak kisah menarik berkaitan kehidupannya dan keluarganya, juga setelah pemergiannya. Yang  menarik setelah pemergiannya, ialah beliau disemadikan di tanah perkuburan di kompleks Masjid Abu Ayub Al-Ansari di Istanbul, yang sebenarnya hanya diperuntukkan untuk para pemerintah dan pahlawan Turki. Tentu orangnya istimewa jika diberikan penghormatan sedemikian setelah pemergiannya, di sebuah tempat yang hadirnya beliau di sana hanyalah sebagai perantau yang menimba ilmu.

Sememangnya beliau istimewa, antara yang dapat disenaraikan di sini ialah
  • Meskipun beliau pelajar pintar di sekolah, beliau tidak menyertai "perlumbaan tikus" memasuki pengajian bidang "profesional". Sebaliknya beliau memilih untuk mempelajari sejarah, khususnya Sejarah Daulah Uthmaniah, di Istanbul. Beliau punya cita-cita besar yang mempengaruhi pilihannya.
  • Beliau diberi sokongan padu oleh keluarganya, yang bukan saja mendokong, malah terlibat sama dalam cita-citanya. Tidak seperti sesetengah ibu bapa lain yang memaksa anak mereka memasuki pengajian "profesional" kerana mengharapkan gaji lumayan selepas tamat belajar.
  • Di Turki, beliau juga aktif menyertai aktiviti kemanusiaan yang dianjurkan di sana.


Perginya seorang insan dalam usia yang muda semasa menuntut ilmu demi mencapai cita-citanya iaitu mendidik umat wajar sekali memberi kesan membekas kepada kita, sama ada yang berstatus pelajar, orang tamat belajar, orang muda, orang tua, dan orang yang mendidik sama ada anak sendiri atau anak murid. Sungguh dalam hidup yang singkat itu boleh saja kita mengukir satu kemuliaan, itu pun bergantung kepada cita-cita dan usaha kita, serta pergantungan kita kepada Allah yang Maha melaksana perancangan-Nya.

Bak kata imam yang memberi khutbah selepas mensolatkan jenazah almarhum di Masjid Abu Ayub, pemergiannya menjelang tahun baru hijrah bukanlah kebetulan, sebaliknya perancangan Allah. Ia satu hijrah.

Kisah Orang Belajar Mengunjungi Istanbul

Ramai pengunjung, kerana hari itu ialah petang Khamis pertama bulan Rejab, tambahan pula 3 hari lagi penduduk Istanbul akan meraikan ulang tahun ke-559 pembukaan kota itu oleh Al-Fatih.


Alhamdulillah saya sempat membuat kunjungan singkat di masjid Abu Ayub (di Turki dipanggil Eyup Camii) ini pada 1 Rejab 1434H bersamaan 23 Mei 2012. Lawatan ini sebahagian dari pakej pelancongan yang menyertai satu perjalanan umrah. Cuti sekolah, ketiadaan bayi kecil untuk disusui, yang paling kecil sudahpun berusia 2 tahun lebih dan perlu ditinggalkan seketika agar dapat memutuskan penyusuannya dengan ibunya (i.e. yours truly), kekusutan pemikiran melaksanakan pengajian pasca siswazah, dan kecukupan dana; yang semuanya disimpulkan sebagai "diberikan rezeki dan laluan mudah" - untuk saya dan suami membuat satu keputusan pantas dan tiba-tiba untuk menyertai rombongan umrah yang didahului dengan lawatan 2 hari di Istanbul.

Mengunjungi Istanbul, nama kunonya Constantinople, adalah mimpi menjadi kenyataan bagi kami. Siapa yang tidak mahu melihat hasil tinggalan sejarah agung tamadun dunia. Mengunjungi Istanbul bukanlah semata-mata menikmati keindahan dan kenyamanan musim bunga dan membuat filem romantis seperti "Istanbul Aku Datang". Ia bertujuan menjejaki tinggalan seorang Al-Fatih, pemimpin terbaik yang memimpin pasukan terbaik. Persediaan singkat dilakukan - menghabiskan buku karya Felix Siauw bertajuk Al-Fatih 1453 (Maklumat di sini http://felixsiauw.com/home/buku-muhammad-al-fatih-1453-felix-y-siauw/). Langkah awal untuk memperoleh maklumat awal, agar lawatan diisi ilmu dan pemahaman.

Kisah yang dibaca memberi seribu satu keterujaan. Mengintai bandaraya Istanbul pusat tamadun dunia yang indah. Menjejakkan kaki ke Kompleks Masjid Eyup Camii yang lengkap dengan madrasah, hammam dan tanah perkuburan. Membauri ribuan muslim tempatan yang mengunjungi masjid ini pada petang Khamis pertama bulan Rejab kerana ingin iktikaf pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Menerima gula-gula pemberian anak-anak kecil riang di pintu masjid yang membantu orang tua mereka memberi sedekah kerana menyambut kedatangan Rejab. Menyaksikan galeri informasi tentang Abu Ayub. Langkah semakin menghampiri makam Sahabat RadhiyaLlahu 'anhu. Terkilas kelibat makam tersebut. Automatik air mata jatuh tanpa dipinta. Allahumghfirlahu warhamhu. Syukur Allah memberikanku peluang menghampiri tempat bersemadinya seorang insan yang mulia, yang begitu dekat dengan insan utama Muhammad SAW. Yang mengabdikan hidupnya dan matinya untuk Tuhannya. Yang kisahnya menamparku dengan moral erti sebuah umur untuk diisi.

Kisah Orang Tua Berjiwa Muda yang Bermisi di Istanbul

Dinukilkan bahawa, Rasulullah SAW mengkhabarkan yang bermaksud, bahawa Islam akan menguasai Constantinople, pemimpin umat Islam yang bakal mengalahkan pemerintah Constantinople itu ialah sebaik-baik pemimpin, manakala pasukannya ialah sebaik-baik pasukan. Bisyarah (Berita gembira) itu menjadi inspirasi dan motivasi bagi khalifah-khalifah dan sultan-sultan selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pemimpin umat yang terawal menyahut cabaran tersebut ialah Khalifah Mu'awiyah Bin Abi Sufyan, menerusi satu misi yang memakan masa 4 tahun. Namun kejayaan bukanlah mudah dan percuma, ia hanyalah milik umat Islam 800 tahun kemudian iaitu pada tahun 1453 Masihi, selepas pelbagai cubaan dari pelbagai pemimpin muslim, yang menelan bukan sedikit pengorbanan.

Khalifah Mu'awiyah dalam melancarkan misinya, menghantar pasukan jihad dipimpin puteranya Yazid, menaiki bahtera menempuh satu perjalanan yang jauh dan payah, dari Semenanjung Arab ke penghujung Eropah (Constantinople). Hasil didikan ideologi Islam dari Rasulullah SAW, pengorbanan itu mampu dilakukan, kerana hanya iman sahaja yang mampu membangkitkan umat agar menyahut cabaran Rasulullah SAW untuk menjadi pemimpin terbaik dan pasukan terbaik.

Salah seorang yang menyertai ketumbukan jihad Khalifah Mu'awiyah ialah Abu Ayub Al-Ansari yang sudah berusia 80an, atau dalam riwayat lain mengatakan, 96 tahun. Dan sudah tentu inspirasinya tidak lain untuk menyahut cabaran Rasulullah SAW, dan ruh ingin mengakhiri hari tuanya sebagai syahid fi sabilillah. Dan siapakah Abu Ayub Al-Ansari? Abu Ayub inilah yang menjadi tuan rumah Rasulullah SAW sejurus baginda tiba di Yathrib (Madinah) dalam hijrah agung baginda. Tatkala semua orang Ansar berebut-rebut mahukan rumah mereka disinggahi Rasulullah SAW, Rasulullah SAW membiarkan unta baginda berjalan hingga unta itu benar-benar berhenti, dan tidak mahu berjalan lagi, di perkarangan rumah Abu Ayub. Maka Abu Ayublah yang menjadi tuan rumah Rasulullah SAW di Madinah sehinggalah baginda berpindah ke bilik di pinggir Masjid beberapa lama kemudian, iaitu selepas Masjid siap dibina.

Kemuliaan Abu Ayub Al-Ansari tidak berhenti setakat itu, beliau juga dikenali sebagai seorang yang tidak pernah gagal menyertai sebarang misi jihad. Jika ada pun misi jihad yang tidak disertainya, itu kerana beliau sedang menyertai misi jihad lain yang berjalan serentak. Hinggalah beliau menyertai misi yang terakhir ini pada seperlima akhir seabad usianya. Dan dalam keuzuran mengetahui ajalnya hampir tiba, dan kebarangkalian pasukan pertama ini tidak berjaya mencapai kemenangan yang diimpikan, beliau mewasiatkan kepada semua saudara seperjuangannya agar berusaha menembusi tembok Constantinople sedalam mungkin, dan menyemadikan jenazah beliau di sisi tembok kota itu, agar beliau dapat mendengar derap kaki kuda tentera yang nantinya akan memenangi Constantinople seperti dalam bisyarah Rasulullah SAW.

Renungan


Inilah kisah seorang insan berusia emas dan berjiwa pemuda, dan kisah seorang pemuda yang menyertainya hampir 1400 tahun kemudian. Kisah pemuda berusia 20 tahun dan pemuda berusia 100 tahun yang mengabdikan usia mereka pada jalan kemenangan, meskipun kemenangan yang dihajati tidak sempat digenggam dalam tangan sendiri. Kisah pemuda 20 tahun dan pemuda 100 tahun yang menginspirasikan dan menginsafkan. Moga ingatan terhadap berakhirnya sebuah kehidupan, akan memberi kebijaksanaan kepada kita untuk terus menghidupkan kehidupan diri dan generasi akan datang.