Kisah orang tua, orang muda, dan orang belajar
Kisah Orang Muda Belajar di Istanbul
Beberapa hari telah
berlalu, semenjak kembalinya ke rahmatullah seorang anak muda menjelang tahun
baru hijrah. Anak muda itu ialah Ahmad Ammar (http://goo.gl/phgLZ7),
seorang pelajar tahun 2 berumur 20 tahun dari Malaysia yang menuntut di
Universiti Marmara, Istanbul.
Banyak kisah menarik
berkaitan kehidupannya dan keluarganya, juga setelah pemergiannya. Yang menarik setelah pemergiannya, ialah beliau
disemadikan di tanah perkuburan di kompleks Masjid Abu Ayub Al-Ansari di Istanbul,
yang sebenarnya hanya diperuntukkan untuk para pemerintah dan pahlawan Turki.
Tentu orangnya istimewa jika diberikan penghormatan sedemikian setelah
pemergiannya, di sebuah tempat yang hadirnya beliau di sana hanyalah sebagai
perantau yang menimba ilmu.
Sememangnya beliau
istimewa, antara yang dapat disenaraikan di sini ialah
- Meskipun beliau pelajar pintar di sekolah, beliau tidak menyertai "perlumbaan tikus" memasuki pengajian bidang "profesional". Sebaliknya beliau memilih untuk mempelajari sejarah, khususnya Sejarah Daulah Uthmaniah, di Istanbul. Beliau punya cita-cita besar yang mempengaruhi pilihannya.
- Beliau diberi sokongan padu oleh keluarganya, yang bukan saja mendokong, malah terlibat sama dalam cita-citanya. Tidak seperti sesetengah ibu bapa lain yang memaksa anak mereka memasuki pengajian "profesional" kerana mengharapkan gaji lumayan selepas tamat belajar.
- Di Turki, beliau juga aktif menyertai aktiviti kemanusiaan yang dianjurkan di sana.
Perginya seorang
insan dalam usia yang muda semasa menuntut ilmu demi mencapai cita-citanya
iaitu mendidik umat wajar sekali memberi kesan membekas kepada kita, sama ada
yang berstatus pelajar, orang tamat belajar, orang muda, orang tua, dan orang
yang mendidik sama ada anak sendiri atau anak murid. Sungguh dalam hidup yang
singkat itu boleh saja kita mengukir satu kemuliaan, itu pun bergantung kepada
cita-cita dan usaha kita, serta pergantungan kita kepada Allah yang Maha
melaksana perancangan-Nya.
Bak kata imam yang
memberi khutbah selepas mensolatkan jenazah almarhum di Masjid Abu Ayub,
pemergiannya menjelang tahun baru hijrah bukanlah kebetulan, sebaliknya
perancangan Allah. Ia satu hijrah.
Kisah Orang Belajar Mengunjungi Istanbul
Ramai pengunjung, kerana hari itu ialah petang Khamis pertama bulan Rejab, tambahan pula 3 hari lagi penduduk Istanbul akan meraikan ulang tahun ke-559 pembukaan kota itu oleh Al-Fatih. |
Alhamdulillah saya
sempat membuat kunjungan singkat di masjid Abu Ayub (di Turki dipanggil Eyup
Camii) ini pada 1 Rejab 1434H bersamaan 23 Mei 2012. Lawatan ini sebahagian
dari pakej pelancongan yang menyertai satu perjalanan umrah. Cuti sekolah,
ketiadaan bayi kecil untuk disusui, yang paling kecil sudahpun berusia 2 tahun
lebih dan perlu ditinggalkan seketika agar dapat memutuskan penyusuannya dengan ibunya (i.e. yours truly), kekusutan pemikiran melaksanakan pengajian pasca siswazah, dan
kecukupan dana; yang semuanya disimpulkan sebagai "diberikan rezeki dan
laluan mudah" - untuk saya dan suami membuat satu keputusan pantas dan tiba-tiba
untuk menyertai rombongan umrah yang didahului dengan lawatan 2 hari di
Istanbul.
Mengunjungi
Istanbul, nama kunonya Constantinople, adalah mimpi menjadi kenyataan bagi
kami. Siapa yang tidak mahu melihat hasil tinggalan sejarah agung tamadun
dunia. Mengunjungi Istanbul bukanlah semata-mata menikmati keindahan dan
kenyamanan musim bunga dan membuat filem romantis seperti "Istanbul Aku
Datang". Ia bertujuan menjejaki tinggalan seorang Al-Fatih, pemimpin
terbaik yang memimpin pasukan terbaik. Persediaan singkat dilakukan -
menghabiskan buku karya Felix Siauw bertajuk Al-Fatih 1453 (Maklumat di sini http://felixsiauw.com/home/buku-muhammad-al-fatih-1453-felix-y-siauw/).
Langkah awal untuk memperoleh maklumat awal, agar lawatan diisi ilmu dan
pemahaman.
Kisah yang dibaca
memberi seribu satu keterujaan. Mengintai bandaraya Istanbul pusat tamadun
dunia yang indah. Menjejakkan kaki ke Kompleks Masjid Eyup Camii yang lengkap
dengan madrasah, hammam dan tanah perkuburan. Membauri ribuan muslim tempatan
yang mengunjungi masjid ini pada petang Khamis pertama bulan Rejab kerana ingin
iktikaf pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Menerima gula-gula pemberian
anak-anak kecil riang di pintu masjid yang membantu orang tua mereka memberi
sedekah kerana menyambut kedatangan Rejab. Menyaksikan galeri informasi tentang
Abu Ayub. Langkah semakin menghampiri makam Sahabat RadhiyaLlahu 'anhu.
Terkilas kelibat makam tersebut. Automatik air mata jatuh tanpa dipinta.
Allahumghfirlahu warhamhu. Syukur Allah memberikanku peluang menghampiri tempat
bersemadinya seorang insan yang mulia, yang begitu dekat dengan insan utama Muhammad SAW. Yang mengabdikan hidupnya dan matinya
untuk Tuhannya. Yang kisahnya menamparku dengan moral erti sebuah umur untuk
diisi.
Kisah Orang Tua Berjiwa Muda yang Bermisi di Istanbul
Dinukilkan bahawa,
Rasulullah SAW mengkhabarkan yang bermaksud, bahawa Islam akan menguasai
Constantinople, pemimpin umat Islam yang bakal mengalahkan pemerintah
Constantinople itu ialah sebaik-baik pemimpin, manakala pasukannya ialah
sebaik-baik pasukan. Bisyarah (Berita gembira) itu menjadi inspirasi dan
motivasi bagi khalifah-khalifah dan sultan-sultan selepas kewafatan Rasulullah
SAW. Pemimpin umat yang terawal menyahut cabaran tersebut ialah Khalifah
Mu'awiyah Bin Abi Sufyan, menerusi satu misi yang memakan masa 4 tahun. Namun
kejayaan bukanlah mudah dan percuma, ia hanyalah milik umat Islam 800 tahun
kemudian iaitu pada tahun 1453 Masihi, selepas pelbagai cubaan dari pelbagai
pemimpin muslim, yang menelan bukan sedikit pengorbanan.
Khalifah Mu'awiyah
dalam melancarkan misinya, menghantar pasukan jihad dipimpin puteranya Yazid,
menaiki bahtera menempuh satu perjalanan yang jauh dan payah, dari Semenanjung
Arab ke penghujung Eropah (Constantinople). Hasil didikan ideologi Islam dari Rasulullah
SAW, pengorbanan itu mampu dilakukan, kerana hanya iman sahaja yang mampu
membangkitkan umat agar menyahut cabaran Rasulullah SAW untuk menjadi pemimpin
terbaik dan pasukan terbaik.
Salah seorang yang
menyertai ketumbukan jihad Khalifah Mu'awiyah ialah Abu Ayub Al-Ansari yang
sudah berusia 80an, atau dalam riwayat lain mengatakan, 96 tahun. Dan sudah
tentu inspirasinya tidak lain untuk menyahut cabaran Rasulullah SAW, dan ruh
ingin mengakhiri hari tuanya sebagai syahid fi sabilillah. Dan siapakah Abu
Ayub Al-Ansari? Abu Ayub inilah yang menjadi tuan rumah Rasulullah SAW sejurus
baginda tiba di Yathrib (Madinah) dalam hijrah agung baginda. Tatkala semua
orang Ansar berebut-rebut mahukan rumah mereka disinggahi Rasulullah SAW,
Rasulullah SAW membiarkan unta baginda berjalan hingga unta itu benar-benar
berhenti, dan tidak mahu berjalan lagi, di perkarangan rumah Abu Ayub. Maka Abu
Ayublah yang menjadi tuan rumah Rasulullah SAW di Madinah sehinggalah baginda
berpindah ke bilik di pinggir Masjid beberapa lama kemudian, iaitu selepas
Masjid siap dibina.
Kemuliaan Abu Ayub
Al-Ansari tidak berhenti setakat itu, beliau juga dikenali sebagai seorang yang
tidak pernah gagal menyertai sebarang misi jihad. Jika ada pun misi jihad yang
tidak disertainya, itu kerana beliau sedang menyertai misi jihad lain yang berjalan
serentak. Hinggalah beliau menyertai misi yang terakhir ini pada seperlima
akhir seabad usianya. Dan dalam keuzuran mengetahui ajalnya hampir tiba, dan
kebarangkalian pasukan pertama ini tidak berjaya mencapai kemenangan yang
diimpikan, beliau mewasiatkan kepada semua saudara seperjuangannya agar berusaha menembusi tembok Constantinople sedalam mungkin, dan menyemadikan jenazah beliau
di sisi tembok kota itu, agar beliau dapat mendengar derap kaki kuda tentera
yang nantinya akan memenangi Constantinople seperti dalam bisyarah Rasulullah
SAW.
Renungan
Inilah kisah seorang
insan berusia emas dan berjiwa pemuda, dan kisah seorang pemuda yang
menyertainya hampir 1400 tahun kemudian. Kisah pemuda berusia 20 tahun dan
pemuda berusia 100 tahun yang mengabdikan usia mereka pada jalan kemenangan,
meskipun kemenangan yang dihajati tidak sempat digenggam dalam tangan sendiri.
Kisah pemuda 20 tahun dan pemuda 100 tahun yang menginspirasikan dan
menginsafkan. Moga ingatan terhadap berakhirnya sebuah kehidupan, akan memberi
kebijaksanaan kepada kita untuk terus menghidupkan kehidupan diri dan generasi
akan datang.
Salam Mdm Khadijah, arwah Ahmad Ammar tu kawan sekolah saya.
ReplyDeleteDunia ini diisi dengan kehidupan yang bermula dan berakhir, insan yang datang dan pergi. Dalam menyaksikan ini, ada iktibar mesti diambil utk mengisi hidup yg masih bersisa.
ReplyDeleteAlif Hazwan, apa yg saya tulis ttg Ahmad Ammar tu ada salah fakta tak? Sbb saya x kenal dgn arwah, cuma ambil maklumat dari pembacaan saja.
ReplyDeleteterima kasih catatkan sesuatu untuk Ammar..syukran.
ReplyDeleteTerima kasih kembali, Ummu Amar :-)
Deletebetullah tu Mdm.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete